Saturday, 10 December 2011

D) KATA KERJA

Pengenalan
Menurut Tatabahasa Dewan,kata kerja ialah perkataan yang menjadi
inti bagi binaan atau konstruksi frasa kerja.Frasa kerja terdiri
daripada kata kerja yang boleh disertai beberapa unsur lain seperti
kata bantu,objek,pelengkap,ayat komplemen dan keterangan.

Penggolongan Kata Kerja

Kata kerja sebagai satu golongan kata boleh dibahagikan kepada dua
kumpulan utama ,iaitu:
a)Kata Kerja Tak Transitif
   Kata kerja tak transitif ialah kata kerja yang tidak memerlukan
   penyambut atau objek sesudahnya.Kata kerja tak transitif dapat
   dibahagikan kepada dua subgolongan,iaitu :

 i) kata kerja tak transitif tanpa pelengkap
   (kata kerja yang boleh berdiri sendiri tanpa objek atau
    penyambut seperti dalam contoh ayat di bawah )
    
  •     Semua orang pulang.
  •     Pak Ali tertidur.
  •     Adik sedang menangis.
  •    Gadis itu tersenyum. 
Contoh-contoh lain kata kerja tak transitif tanpa pelengkap adalah
seperti berikut :
  • bercerita      termenung       menjeling          batuk
  • pengsan       bergaduh         berdiri               belajar
  • mengintai    terjatuh            menjerit         berkebun
Kata kerja tak transitif tanpa pelengkap ini boleh juga diikuti oleh
unsur keterangan bagi memberi maklumat tambahan contoh dalam
ayat di bawah :
  • Adik menangis kerana lapar.
  • Faridah masih termenung di bilik tidurnya.
  • Encik Ali berucap dalam majlis itu.
  • Gadis itu tersenyum seorang diri.
   ii)Kata kerja tak transitif berpelengkap.
   ( kata kerja yang mesti diikuti oleh pelengkap untuk men-
     yempurnakan maksud ayat.)

    Contoh ayat :
  • Keadaan bapanya beransur baik
  • Mereka tinggal di Temerloh Pahang.
  • Dia menjadi guru.
  • Pengemis itu berselimutkan embun.
* perkataan yang berhuruf condong ialah kata kerja tak transitif
   sementara unsur yang mengikuti ialah pelengkap.Jika pelengkap
   digugurkan,ayat-ayat yang terhasil tergantung dan tidak sempurna.
   contoh : Keadaan bapanya beransur.
                 Mereka tinggal.


              



    Thursday, 8 December 2011

    c) KATA GANTI NAMA

    Kata ganti nama digunakan untuk menggantikan nama sesuatu sama ada secara umum atau secara khusus
    Terdiri daripada :
    1. Kata ganti nama diri
    • Kata ganti nama diri pertama :
              - aku,saya,kami ,kita,beta,ku,daku,patik,hamba
    • Kata ganti nama diri kedua :
             - awak,kamu,anda,engkau,kau,mu,kalian,tuanku,dikau 
    • Kata ganti nama diri ketiga :
             - dia,ia,beliau,mereka,nya,baginda,


         
         2 . Kata ganti nama diri tanya

              - merujuk kata ganti nama yang digunakan untuk bertanyakan
                sesuatu contoh : apa,siapa dan mana

              Contoh ayat :
    • Apa yang sedang kamu menungkan itu?
    • Di dalam bakul itu ada apa?
    • Pemuda yang berbaju merah itu siapa?
    • Untuk siapa hadiah ini,ayah?
    • Mana buku saya tadi?
    • Yang mana adik kamu?
    * kadang-kadang kata ganti nama diri tanya boleh mengalami proses
       penggandaan untuk membawa maksud rujukan tidak tentu atau
       penegasan,contohnya :
     a)  Apa-apa ( merujuk sesuatu perkara,peristiwa,benda atau hal
          yang tidak tentu)
          Contoh ayat : Saya tidak makan apa-apa pun sejak tadi. 

     b) Mana-mana( menyatakan benda atau tempat yang tidak tentu)
          Contoh ayat : Saya tidak akan melarang jika kamu ingin
                               ke mana-mana.

     c)  Siapa-siapa( bertanya tentang orang atau pihak yang tidak
          ditentukan)
          Contoh ayat : Siapa-siapa yang terambil buku saya tolonglah
                               pulangkan.


    3) Kata ganti nama diri tempat
        Digunakan untuk menunjukkan tempat atau lokasi sesuatu tempat.

    a) Sini (menyatakan tempat yang dekat)
        Contoh ayat : Kebanyakan penduduk di sini bekerja sebagai
                               nelayan.
    b) Situ (menyatakan tempat yang tidak begitu jauh)
        Contoh ayat : Petempatan di situ sungguh indah dan 
                               nyaman.
    c) Sana (menyatakan tempat yang jauh)
        Contoh ayat : Dia baru pulang dari Jepun setelah berada 
                               di sana selama lima tahun.

    4) Kata ganti nama diri tunjuk
       
    a) Ini (menunjuk sesuatu yang dekat)
        Contoh ayat : Ini adik saya.

    b) Itu( menunjuk sesuatu yang jauh)
        Contoh ayat : Budak itu memang bijak.

       

    Thursday, 1 December 2011

    B) KATA NAMA KHAS

    Kata nama khas digunakan untuk menyebut nama sesuatu secara khusus seperti nama orang,haiwan,benda,institusi,bangsa,bahasa dan pangkat.
    Kata nama khas ditulis dengan menggunakan huruf besar pada awal perkataan.
    Kata nama khas juga terbahagi kepada dua jenis :
    • Hidup:
              - manusia :Hashim.Allysa.Hakimie,Doktor Rahim
              - haiwan : Si Tompok,Si Jalak ,Harimau Bintang
              - tumbuhan : Orkid Isabella,Limau Mandarin
    • Tidak hidup:
              - tempat : Muzium Negara,Taman Indah,Menara Kuala Lumpur
              - benda : Proton Exora,Adidas,Nokia

    Contoh ayat :  
    1. Kari kepala ikan yang dijual di Restoran Mawar memang sedap.
    2. Ayah membeli sebuah kereta Honda.
    3. Kucing saya dinamakan Si Belang kerana bulunya yang berbelang-belang.
    4. Para pelancong dari Jepun itu sedang melawat Makam Mahsuri.
    5. Novel "Ranjau Sepanjang Jalan"telah ditulis oleh Sasterawan Negara Shahnon Ahmad.


     
              




            

                
         

    Tuesday, 11 October 2011

    KATA NAMA

    Kata nama terbahagi kepada tiga golongan seperti :
    • Kata nama am
    • Kata nama khas
    • Kata ganti nama

                     Ini adalah contoh kata nama (AM)
    a) KATA NAMA AM

    Kata nama am ialah perkataan yang merujuk benda,perkara,atau konsep yang umum sifatnya.Contohnya:
    • benda : alam,dunia,cakerawala,pohon,orang
    • perkara : iklim,cahaya,roh,udara,hisapan
    • konsep : kedamaian,perpindahan,keadilan
    Kata nama am pula dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil berdasarkan ciri makna perkataanya iaitu hidup atau tak hidup,manusia atau bukan manusia,intitusi atau bukan institusi,konkrit atau abstrak,berbilang atau tak berbilang.

    Kata nama am terbahagi kepada dua :
    a)Kata nama am :
    i) Hidup :
    • manusia - ayah,ibu,doktor,guru,nelayan
    • bukan manusia - pokok,harimau,bidadari
    ii) Tidak hidup :  
    •     bukan institusi -  konkrit : rumah,jalan,kertas,kerusi
    •              abstrak : senyuman.bayangan,wawasan,iklim
    •     institusi - universiti,hospital,pertubuhan,kerajaan


               

    Apa yang perlu anda tahu tentang Bahasa Melayu

    • Bahasa terdiri daripada kumpulan ayat yang tidak terbilang jumlahnya..
    • Ayat terbina daripada satu atau beberapa patah perkataan yang bermakna
    • Frasa ialah binaan satu perkataan atau beberapa perkataan yang berpotensi untuk menjadi unit yang lebih besar
    • Perkataan ialah gabungan huruf yang membentuk bunyi dan makna yang tertentu
    • Bahasa Melayu terbentuk daripada dua komponen yang utama,iaitu morfologi dan sintaksis.
    • Morfologi ialah pembentukan golongan kata manakala sintaksis ialah pembentukan ayat.
    • Tatabahasa pula ialah hukum atau peraturan berbahasa yang bersistem
           Menurut Haji Razali Yahya dalam bukunya
           " Sistem Bahasa"


     Golongan kata

    Golongan kata ialah kumpulan perkataan yang menjadi dasar pembentukan sesuatu bahasa. Ia terdiri daripada komponen berikut
    1. Kata Nama
    2. Kata Kerja
    3. Kata Adjektif
    4. Kata Tugas






                                                                                              

    Wednesday, 5 October 2011

    Golongan Kata

    Assalammualaikum dan salam perkenalan..
    Menerusi blog Golongan Kata ini saya ingin berkongsi bersama-sama semua blogger mengenai golongan kata yang terdapat dalam Bahasa Melayu. Pengalaman mengajar Bahasa Melayu selama 8 tahun jelas menunjukkan kepada saya bahawa pelajar masih tidak dapat menguasai sepenuhnya Golongan Kata ini.Bahasa Melayu merupakan satu bidang bahasa yang luas yang perlu dipelajari oleh semua golongan terutamanya para pelajar masa kini yang menganggap Bahasa Melayu terlalu mudah dan tidak perlu dipelajari hingga menyebabkan mereka cuai ketika menjawab soalan peperiksaan terutama Kertas 1.